Tuesday 19 August 2008

BASAHKAN LIDAH DENGAN ZIKRULLAH

Ibnu Atho’ Illah menambah dengan katanya

لاتترك الذكرك لعدم حضورك مع الله فيه لآن غفلتك عن وجود ذكرك أشد
من غفلتك فى وجود ذكرك
“Jangan engkau tinggalkan zikir kerana ketiadaan beserta hatimu bersama Allah didalam zikir itu. Kerana kelalaian mu didalam keadaan meninggalkan berzikir adalah terlebih parah daripada lalaimu dalam keadaan engkau terus berzikir”.

Sahabat-sahabatku..Zikir adalah ibadah yang menghubungkan kita dengan Allah. Hamba yang selalu berzikir bermakna ia sentiasa berusaha mendekatkan dirinya dengan Allah. Lalu sudah pasti Allah akan menarik diri hamba itu lebih dekat keharibaan-Nya. Sabda RasuluLlah saw;
عن ابى هريرة رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يقول الله تعالى انا عند ظن عبد بى وانا معه اذا ذكرنى فان ذكرنى فى نفسه ذكرته فى نفسي وان ذكرنى فى ملاء ذكرته فى ملاء خير منهم وان تقرب الي بشبر تقربت اليه ذراعا وان تقرب الي ذراعا تقربت اليه باعا واتاني يمشي أتيته هرولة.

“ Dari Abu Hurairah katanya, Bahawa Rasulullah saw bersabda; Telah berfirman Allah; Sesungguhnya apa-apa yang Aku lakukan terhadap hamba-Ku mengikut sangkaanya terhadap Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingati Ku.Jika ia mengingati Aku di dalam hatinya maka Aku akan mengingatinya di dalam hatiKu (ZatKu). Jika ia menyebut Aku di Khalayak ramai nescaya Aku akan menyebut ia dikhalayak yang lebih mulia daripada mereka ( dikhalayak malaikat).Apabila ia mendekati Ku dengan berjalan, nescaya Aku akan mendekatinya dengan berlari (bersegera).

Selayaknya bagi orang yang berada di atas jalan menuju kepada Allah, sentiasa memperbanyakkan zikir dan menyebut nama Allah. Kerana dengan sentiasa berzikir ia akan sentiasa meniti di atas “jalan Allah” dan tidak akan tergelincir daripadanya. Zikir melapangkan jiwa (sakinah). Zikir juga adalah usaha untuk menbersihkan hati daripada karat-karat kelalaian dan kealpaan. Zikir mengilap cermin hati agar sentiasa tersuluh dengan cahaya makrifah. Hati yang tersuluh dengan nur makrifah tidak akan menoleh lagi kearah nur-nur yang lain.

Imam Ibnu Atho’ ILlah mengingatkan kita agar sentiasa berzikir, walaupun mungkin sukar untuk kita menyertakan hati dengan khyusuk menghayati zikir yang dilafazkan. Kerana kelalaian kita dalam keadaan sentiasa berzikir adalah lebih baik daripada kelalaian tanpa zikir. Oleh itu, apapun keadaan hati kita, zikir hendaklah diteruskan. Kerana lama kelamaan pasti hati itu akan tenang dan beransur-ansur tawajjuhnya kepada Allah, kerana berkat mujahadahnya serta iradah dan inayah Allah swt.

Aryar ( rintangan dan simpangsiur) yang merintangi hati hanya akan dapat dihilangkan dengan memperolehi tawajjuh ila Llah, sedangkan untuk memperolehi “tawajjuh” itu memerlukan mujahadah yang berterusan dan zikir tanpa jemu. Aryar hatilah yang menganggu hamba dari memperolehi tenang jiwa bersama kebesaran Rabbnya. Aryar-aryar itu adalah hijab yang menghalang hamba daripada melihat cahaya makrifah tuhannya.
Sahabat-sahabatku yang dimuliakan Allah…Hamba yang memperolehi cahaya mengenali tuhannya akan tenanglah jiwanya. Asyiklah hatinya bersama Tuhannya, dan akan terhindarlah ia dari membesarkan suatu selain Tuhanya. Tuhannya berada pada makam cinta yang paling mulia dalam hati dan jiwanya. Dari telaga hati yang jernih air cintanya kepada Allah akan memancarlah “mahmudah” pada zahir tubuhnya serta perkataannya. Makhluk tidak mempunyai ruang untuk bertapak dalam hatinya kerana semua ruang telah dipenuhi rasa cintanya kepada Khaliqnya. Saat itu apa sahaja yang ia lakukan adalah untuk Khaliqnya. Solahnya, Puasanya, Sodaqahnya, pergaulannya bersama manusia, jihadnya untuk agama dan apa sahaja yang ia lakukan adalah semata-mata kerana ubudiyyah dan cintanya kepada Tuhannya.

Zikir untuk menyisih segala aryar dari laluan hati menuju kepada Allah. Zikir bukan untuk memburu keramat (Karomah). Alangkah kerdilnya jiwa hamba yang berzikir kerana memcari karomah. Justeru karomah itulah yang diminta dijauhi oleh hamba-hamba yang tulus ikhlas ubudiyyahnya kepada Allah. Alangkah sesatnya niat yang seumpama itu. Berzikir untuk membuang rintangan nafsu dunia tetapi dalam masa yang sama memburu nafsu dalam perkara agama. Dikala itu, zikir untuk siapa sebenarnya?.
Sabda Rasulullah saw;

عن ابى هريرة عن النبى صلى الله عليه وسلم قال سبعة يظلهم الله فى ظله يوم لا ظل الا ظله. الامام العادل وشاب نشأ فى عبادة الله عزوجل ورجل قلبه معلقا فى المساجد ورجلان تحابا فى الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال اني أخاف الله ورجل تصدقة بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه.

“ Dari Abu Hurairah dari Nabi saw. Baginda bersabda; Tujuh golongan yang akan dilindungi Allah dibawah bayangan ArayshNya pada hari yang tiada bayangan kecuali bayangan ArayshNya. Imam yang adil,Pemuda yang mengunakan usia mudanya untuk beribadah kepada Allah, Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada Masjid,Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.Lelaki yang dirayu seorang wanita yang bangsawan dan jelita lalu ia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan sekelian alam, Seorang yang bersedekah sehingga tidak diketahui oleh tangan kirinya apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan lelaki yang sentiasa menyebut nama Allah sehingga berlinangan airmatanya( kerana takut kepada Allah)”.

Sahabt-sahabatku.. Gelombang nafsu dan tipudaya Syaitan terhadap hati hamba itu ada dimana-mana. Sukar untuk mengenalinya serta lebih sukar untuk menjauhinya. Telah ramai hamba-hamba Allah yang lemas dalam lautan talbisnya (tipudaya). Jika nafsu dan godaan syaitan itu berupa maksiat atau kejahatan, mudah untuk kita menghadapinya. Tetapi jika tipudaya itu bersifat dorongan kepada agama dan akhirat maka sukar untuk kita mengenalinya. Hanya hati yang jernih dengan asuhan dan suluhan rohani sahaja akan dapat membezakan antara dorongan ubudiyyah atau dorongan nafsu yang bersembunyi disebalik akhirat.

Mohonlah perlindungan dan pertolongan dari Allah swt.

No comments: