Monday 29 September 2008

Berbaik sangka kepada Allah

لا يعظم الذنب عندك عظمة تصدك عن حسن الظن بالله تعالى فان من عرف ربه استصغر فى جنب كرمه ذنبه

’Maksudnya:
"Jangan sampai terasa bagimu besarnya dosamu itu hingga dapat menghalangi
kamu dari berbaik sangka kepada Allah Taala. Kerana sesiapa yang benar-benar
mengenali Tuhannya maka akan kelihatan kecil dosanya bila berdampingan
dengan keluasan kemurahan Allah swt."

Kenyataan Ibnu 'Atho ini tidak bertentangan dengan maksud hadis Rasulullah saw yang mengatakan antara sifat orang-orang munanfiq itu ialah sentiasa melihat kecil dosa-dosa yang dilakukannya bagaikan seekor lalat yang hinggap diatas hidungnya. Lalat itu akan terbang lari sebelum ia sempat mengangkat tangan untuk menamparnya.

keyataan di atas dihadapkan kepada orang-orang yang telah berada di atas jalan Allah ( Salikin). Orang-orang yang telah tenggelam dan larut dalam penyesalan yang amat sangat atas dosa-dosanya yang telah lalu. Peringatan ini dilontarkan kerana membimbangi rasa penyesalan itu bersangatan tebal sehingga menutup pintu kesedaran dan hakikat bahawa "rahmat Allah" lebih besar dari segala yang besar. Lebih luas dari segala yang luas. Imam Ibnu 'Atho sangat bimbang jika rasa bersalah dan menyesal itu membawa kepada keputus asaan atas pengampunan ilahi. Lalu peringatan di atas sangat perlu diberikan kepada mereka agar menjadi satu motivasi agar jiwanya kembali segar, berpengharapan dan subur dengan rasa syukur atas nikmat kemaafaan Allah.

Orang yang benar-benar mengenali Allah akan tahu betapa luasnya Rahmat Allah. Air dari kolam maghfirahNya cukup untuk membasuh segala palitan dosa seluruh hamba-hambaNya walau sebesar mana sekaelipun dosa itu. Orang yang mengenali Allah akan sentiasa bersangka baik kepada pengampunan Allah swt. Namun perasaan bersangka baik itu tidak pula megheret mereka mempermudah-mudahkan dosa terhadap Allah. Keseimbangan rasa "Khauf" dan "Roja'" (Takut dan Harap) sentiasa menghiasi diri mereka yang makrifah terhadap Allah.

Seorang mukmin yang mengenal Tuhannya melalui sifat-sifatNya yang terpuji, nama-namaNya yang mulia, serta nikmatNya yang tidak terhingga,akan segera bergegas menyahuti perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Semua itu sebagai rasa cinta dan keyakinan bahawa itu semua akan membawanya kepada hampir kepada Allah. Apabila kelemahan dan sifat manusiawinya mendorongnya kepada menyalahi perintah Allah atau jatuh dalam larangan Allah, maka hatinya akan dipenuhi rasa menyesal serta rasa malu terhadap kelembutan dan kurnia Allah. Semakin dekat ia kepada pengampunan Allah maka akan semakin seddih dan menyesal ia atas apa jua keterlanjuran.


Itulah keadaan yang dialami oleh Fudhai bin 'Iyad ketika ia berwukuf bersama jamaah haji yang lain di 'Arafah. Ibnu Al-Jauzi meriwayatkan di dalam Ash-Shfwah dari Mahran bin 'Amru Al-Asdi. Katanya: Aku pernah mendengar Fudhai menangis ketika berwukuf. Tangisannya telah menghalanginya dari berdoa kepada Allah. Fudhai berkata; Alangkah jahatnya aku, alangkah buruknya perbuatanku, walaupun Engkau memaafkan aku".

Tuesday 2 September 2008

تقرب الى الله تعالى

Orang yang Allah bukakan hijab maka akan bersinarlah hatinya dengan cahaya ma'rifah Ilahiyyah. Cahaya yang sangat terang hingga pandangan batin mereka jelas melihat keagungan Allah. Hati mereka tidak upaya memikirkan suatu melainkan Allah. Lidah mereka tidak upaya menyebut suatu melainkan Allah. Mereka tidak mampu lagi bercerai dari Allah walau sesaat. Apabila seseorang hamba itu melihat keagungan Allah, maka akan pudarlah segala makhluk yang ada di sekelilingnya. Akan hilanglah sinar makhluk yang sebelum ini dilihatnya bergemerlapan indah. Saat hati karam dalam kelam kejahilan, dilihat indahnya cahaya bintang yang memagari bulan purnama yang putih berkilau. Tetapi apabila fajar sudah menyingsing, sinar matahari mulai menyuluh alam, maka saat itu tiada lagi cahaya selain cahayanya.

Itulah ibarat hamba yang terpegun menyaksikan cahaya makrifat ilahiyyah. Terasa betapa lemah dan kecilnya diri. Bagai sekujur tubuh yang tidak bernyawa, yang jika digolek kekiri maka kekirilah ia, dan jika digolek kekanan maka kekananlah ia. tiada upaya melakukan apa-apa tanpa kehendak dan iradah Allah. Hatta untuk mengucapkan sepatah perkataan pun ia memerlukan iradah dan kehendak Allah.

Sesorang yang berada jauh dari sebuah rumah akan terlihat kepadanya setiap suatu yang ada dibelakng rumah tersebut. Sawahnya, pepohonnya dan bukit bukau yang melatarinya. Namun apabila ia semakin menghampiri rumah itu, hampir dan hampir sehingga berdiri ia di muka pintunya. Maka tiada yang dilihat pada matanya kecuali sebuah dinding yang berdiri kukuh dihadapannya. Tiada lagi sawah yang terbentang. Tiada lagi pepohon yang menghijau dan tiada lagi gunung yang menjulang. Maka begitulah keadaan hamba yang berjalan menuju kepada hadrat Tuhannya. Apabila telah "wasil" (Sampai) ia dihadapan Allah, maka tiada kuasa lagi ia melihat selain Allah. Sehingga disyukurinya segala nikmat dengan sebenar-benar syukur dan dihadapinya bala dengan kesabaran yang indah. Tanda hampirnya seorang hamba itu kepada Allah, ialah tiada dilihat datangnya nikmat dan bala itu kecuali dari Allah. Tiada dilihat apa yang dimilikinya itu kecuali pinjaman dari Allah. Tiada dilihat apa jua takdir itu kecuali tanda kasih Allah kepadanya. Maka hilang lah segala mazmumah dari hatinya kerana tiada lagi ruang untuk ia melihat kepada dirinya kerana sibuk melihat kepada Rabbnya.

Wednesday 20 August 2008

Nikmat itu dari Allah dan untuk Allah

(Pengajian 7.Sya'ban 1429/9.Ogos.2008)
Berkata imam Ibnu 'Atho:

لاتفرحك الطاعة لانها برزت من الله اليك
"Janganlah engkau merasa gembira dengan perbuatan taat (itu semata-mata) tetapi gembiralah atas sifat ianya sebagai kurniaan Allah kepada engkau".
Dalam mensifati ibadah kepada Allah terbahagi hamba itu kepada dua bahagi.
1. Orang yang bersyukur kerana ia berjaya meneyelesaikan satu ibadah yang diperwajibkan Allah atasnya.
2. Orang yang bersyukur dan gembira atas kurniaan Allah kepadanya sehingga dengan kurniaan itu ia berkemampuan melakukan taat kepada Allah.
Ulama'-ulama' tasauf hampir sepakat mengatakan kegembiraan orang yang kedua adalah lebih baik daripada sifat kegembiraan orang yang pertama. Orang yang pertama masih belum selamat dari kemungkinan merasa ujub atas ibadahnya. Kerana ia merasakan ibadah yang dilakukannya itu datang dari kemampuan dirinya sendiri. Muncul daripada kesedarannya, atau kerajinannya melakukan ibadah. Namun orang yang kedua tidak melihat kepada keupayaan dirinya atau kerajinannya. Bahkan keupayaan dan kemampuannya melakukan ibadah itu sendiri dalah kurniaan Allah yang tidak ternilai. Sehingga ia sibuk melihat kurniaan Allah kepadanya sehingga ia lupa melihat dirinya dan ibadah yang dilakukannya. Firman Allah swt;
لاحول ولا قوة الا بالله العلى العظيم
"Tiada daya ( untuk meninggalkan maksiat) dan tiada upaya ( melakukan taat) kecuali dengan (anugerah atau izin) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung."
Saudara-saudaraku..Apalah yang hendak kita banggakan dengan ibadah yang dilakukan, kerana keseluruhan modal untuk kita melakukan taat itu sendiri datangnya daripada Allah. Ruh, jasad, urat saraf, tulang temulang, sendi, darah, kudrat, keinginan serta kemahuan, kerajinan serta ketekunan semuanya daripada Allah. Hatta bisikan hati untuk melakukan taat itu sendiri adalah anugerah Allah swt. Betapa agungnya kurniaan Allah. Lidah yang bergerak untuk memuji Allah itu juga kurniaan Allah, hatta kalimah pujian itu juga dibisikkan Allah kedalam hati hamba. Firman Allah swt;
قل بفضل الله وبرحمته فبذالك فليفرحوا هو خير مما يجمعون
" Katakanlah (Muhammad),Dengan kurniaan Allah dan Rahmat-Nya hendaklah mereka itu bergembira. (Kurniaan Allah dan Rahmat-Nya itu) lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". - yunus 58
Pahala dan balasan syurga yang dibalasi Allah kepada hamba di akhirat bukannya dinilai dari ibadah dan amal kebajjikan hamba. Bahkan balasan Allah itu datangnya dari Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba. Apalah sangat nilainya ibadah hamba berbanding kurniaan nikmat yang begitu besar dari Allah. Lantaran itu mengapa kita beramal?. Sesungguhnya amal kita itu hanyalah tanda dan lambang pengabdian kita kepada Allah semata-mata. Tanda kita syukur dengan segala kurniaanNya.Kerrana itulah apabila Aisyah menegur Rasulullah yang terlalu banyak beribadah sehingga pecah-pecah tumit baginda, lalu Rasulullah menjawab; " bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang bersyukur". Maksud Rasulullah ialah "aku melakukan begitu banyak ibadah bukan kerana syurgaNya, kerana aku telah dijamin syurga. Aku beribadah bukan kerana mahu dosa-dosaku dihapuskan kerana aku telah dijamin maksum. Namun ibdahku itu adalah tanda aku bersyukur atas segala kurniaanNya".
Pernahkah satu ketika seorang bapa menyuruh anaknya melakukan satu tugasan rumah?. Sibapa berkata; jika adik lakukan tugas itu, ayah akan berikan belanja sekolah. Lalu si anak melakukan kerja yang disuruh bapaNya. Justeru itu si Bapa memberikan anaknya belanja persekolahan dari tahun satu hingga anak itu berjaya menamatkan pengajiannya di universiti. Apakah saraan si bapa itu senialai dengan kerja yang dibuat oleh si anak?. Apakah puluhan ribu itu upah kerja si anak?. Tidak.. saraan dan kurniaan bapa itu adalah tanda kasihnya kepada si anak. Adapun suruhanya kepada si anak adalah untuk melihat sejauh mana ketaatan si anak kepada bapa.
saudara-saudaraku..Cuba direnung secara halus. Berapa peratuskah keterlibatan kita untuk menghasilkan segenggam beras?. Kita hanya menabur benih yang telah disediakan oleh Allah. selepas tabur, kita pulang kerumah. Benih yang kita tabur di sawah terus bertunas. Segala keperluan tumbesarnya disediakan Allah. Bahan organiknya, udaranya, airnya, cahaya mataharinya dan lain-lain. Sampai masanya keluarlah biji-biji padi yang berisi. Cuba bayangkan.layakkah kita mendapatkan hasilnya jika sekadar itu sahaja kerja yang kita buat dan terlibat?. Namun dengan kurniaan Allah dan kasihsayangNya kita terus menerus dilayaniNya dengan penuh sayang. Maka layakkah lagi kita mendurhakaiNya?..

Tuesday 19 August 2008

BASAHKAN LIDAH DENGAN ZIKRULLAH

Ibnu Atho’ Illah menambah dengan katanya

لاتترك الذكرك لعدم حضورك مع الله فيه لآن غفلتك عن وجود ذكرك أشد
من غفلتك فى وجود ذكرك
“Jangan engkau tinggalkan zikir kerana ketiadaan beserta hatimu bersama Allah didalam zikir itu. Kerana kelalaian mu didalam keadaan meninggalkan berzikir adalah terlebih parah daripada lalaimu dalam keadaan engkau terus berzikir”.

Sahabat-sahabatku..Zikir adalah ibadah yang menghubungkan kita dengan Allah. Hamba yang selalu berzikir bermakna ia sentiasa berusaha mendekatkan dirinya dengan Allah. Lalu sudah pasti Allah akan menarik diri hamba itu lebih dekat keharibaan-Nya. Sabda RasuluLlah saw;
عن ابى هريرة رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يقول الله تعالى انا عند ظن عبد بى وانا معه اذا ذكرنى فان ذكرنى فى نفسه ذكرته فى نفسي وان ذكرنى فى ملاء ذكرته فى ملاء خير منهم وان تقرب الي بشبر تقربت اليه ذراعا وان تقرب الي ذراعا تقربت اليه باعا واتاني يمشي أتيته هرولة.

“ Dari Abu Hurairah katanya, Bahawa Rasulullah saw bersabda; Telah berfirman Allah; Sesungguhnya apa-apa yang Aku lakukan terhadap hamba-Ku mengikut sangkaanya terhadap Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingati Ku.Jika ia mengingati Aku di dalam hatinya maka Aku akan mengingatinya di dalam hatiKu (ZatKu). Jika ia menyebut Aku di Khalayak ramai nescaya Aku akan menyebut ia dikhalayak yang lebih mulia daripada mereka ( dikhalayak malaikat).Apabila ia mendekati Ku dengan berjalan, nescaya Aku akan mendekatinya dengan berlari (bersegera).

Selayaknya bagi orang yang berada di atas jalan menuju kepada Allah, sentiasa memperbanyakkan zikir dan menyebut nama Allah. Kerana dengan sentiasa berzikir ia akan sentiasa meniti di atas “jalan Allah” dan tidak akan tergelincir daripadanya. Zikir melapangkan jiwa (sakinah). Zikir juga adalah usaha untuk menbersihkan hati daripada karat-karat kelalaian dan kealpaan. Zikir mengilap cermin hati agar sentiasa tersuluh dengan cahaya makrifah. Hati yang tersuluh dengan nur makrifah tidak akan menoleh lagi kearah nur-nur yang lain.

Imam Ibnu Atho’ ILlah mengingatkan kita agar sentiasa berzikir, walaupun mungkin sukar untuk kita menyertakan hati dengan khyusuk menghayati zikir yang dilafazkan. Kerana kelalaian kita dalam keadaan sentiasa berzikir adalah lebih baik daripada kelalaian tanpa zikir. Oleh itu, apapun keadaan hati kita, zikir hendaklah diteruskan. Kerana lama kelamaan pasti hati itu akan tenang dan beransur-ansur tawajjuhnya kepada Allah, kerana berkat mujahadahnya serta iradah dan inayah Allah swt.

Aryar ( rintangan dan simpangsiur) yang merintangi hati hanya akan dapat dihilangkan dengan memperolehi tawajjuh ila Llah, sedangkan untuk memperolehi “tawajjuh” itu memerlukan mujahadah yang berterusan dan zikir tanpa jemu. Aryar hatilah yang menganggu hamba dari memperolehi tenang jiwa bersama kebesaran Rabbnya. Aryar-aryar itu adalah hijab yang menghalang hamba daripada melihat cahaya makrifah tuhannya.
Sahabat-sahabatku yang dimuliakan Allah…Hamba yang memperolehi cahaya mengenali tuhannya akan tenanglah jiwanya. Asyiklah hatinya bersama Tuhannya, dan akan terhindarlah ia dari membesarkan suatu selain Tuhanya. Tuhannya berada pada makam cinta yang paling mulia dalam hati dan jiwanya. Dari telaga hati yang jernih air cintanya kepada Allah akan memancarlah “mahmudah” pada zahir tubuhnya serta perkataannya. Makhluk tidak mempunyai ruang untuk bertapak dalam hatinya kerana semua ruang telah dipenuhi rasa cintanya kepada Khaliqnya. Saat itu apa sahaja yang ia lakukan adalah untuk Khaliqnya. Solahnya, Puasanya, Sodaqahnya, pergaulannya bersama manusia, jihadnya untuk agama dan apa sahaja yang ia lakukan adalah semata-mata kerana ubudiyyah dan cintanya kepada Tuhannya.

Zikir untuk menyisih segala aryar dari laluan hati menuju kepada Allah. Zikir bukan untuk memburu keramat (Karomah). Alangkah kerdilnya jiwa hamba yang berzikir kerana memcari karomah. Justeru karomah itulah yang diminta dijauhi oleh hamba-hamba yang tulus ikhlas ubudiyyahnya kepada Allah. Alangkah sesatnya niat yang seumpama itu. Berzikir untuk membuang rintangan nafsu dunia tetapi dalam masa yang sama memburu nafsu dalam perkara agama. Dikala itu, zikir untuk siapa sebenarnya?.
Sabda Rasulullah saw;

عن ابى هريرة عن النبى صلى الله عليه وسلم قال سبعة يظلهم الله فى ظله يوم لا ظل الا ظله. الامام العادل وشاب نشأ فى عبادة الله عزوجل ورجل قلبه معلقا فى المساجد ورجلان تحابا فى الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال اني أخاف الله ورجل تصدقة بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه.

“ Dari Abu Hurairah dari Nabi saw. Baginda bersabda; Tujuh golongan yang akan dilindungi Allah dibawah bayangan ArayshNya pada hari yang tiada bayangan kecuali bayangan ArayshNya. Imam yang adil,Pemuda yang mengunakan usia mudanya untuk beribadah kepada Allah, Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada Masjid,Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.Lelaki yang dirayu seorang wanita yang bangsawan dan jelita lalu ia berkata sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan sekelian alam, Seorang yang bersedekah sehingga tidak diketahui oleh tangan kirinya apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan lelaki yang sentiasa menyebut nama Allah sehingga berlinangan airmatanya( kerana takut kepada Allah)”.

Sahabt-sahabatku.. Gelombang nafsu dan tipudaya Syaitan terhadap hati hamba itu ada dimana-mana. Sukar untuk mengenalinya serta lebih sukar untuk menjauhinya. Telah ramai hamba-hamba Allah yang lemas dalam lautan talbisnya (tipudaya). Jika nafsu dan godaan syaitan itu berupa maksiat atau kejahatan, mudah untuk kita menghadapinya. Tetapi jika tipudaya itu bersifat dorongan kepada agama dan akhirat maka sukar untuk kita mengenalinya. Hanya hati yang jernih dengan asuhan dan suluhan rohani sahaja akan dapat membezakan antara dorongan ubudiyyah atau dorongan nafsu yang bersembunyi disebalik akhirat.

Mohonlah perlindungan dan pertolongan dari Allah swt.